menu bar

Selamat Datang ke Pejabat Penasihat Undang-Undang













Alhamdulillahirabbil’alamin, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana atas limpah dan kurnia-Nya blogspot Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPU) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dapat dibangunkan dengan jayanya dan kini boleh dilayari oleh mana-mana pihak.



Terlebih dahulu saya mewakili warga PPU ingin mengucapkan Selamat Datang ke blogspot rasmi PPU UTeM. Pada kesempatan ini juga kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para pelawat kerana sudi meluangkan masa melayari blogspot rasmi PPU ini. Di blogspot ini, PPU berazam untuk  berkongsi segala perkembangan isu-isu perundangan semasa serta segala aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.


"...saya mewakili Warga PPU ingin mengucapkan Selamat Datang ke blogspot rasmi PPU (Pejabat Penasihat Undang-Undang) UTeM."

Asalnya, idea untuk membangunkan blogspot ini diketengahkan bertujuan untuk merapatkan
hubungan silaturahim antara warga UTeM secara umumnya dengan warga PPU. Namun, kami di PPU 
berpendapat bahawa blogspot ini merupakan satu platform yang amat baik dan berkesan untuk 
berkongsi tentang tatacara pengurusan hal ehwal perundangan di peringkat Universiti secara khususnya 
dan di peringkat kebangsaan secara umumnya. Ini bermakna bukan sahaja warga UTeM bahkan 
masyarakat secara umumnya juga akan mendapat manfaat daripada segala maklumat yang dikongsikan 
di blogspot ini.

Selain itu, laman web ini juga dibangunkan atas prinsip “menyediakan perkhidmatan perundangan yang berkesan”. Ini bermakna laman web ini bertindak sebagai pemudah cara bagi penyampaian maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan khidmat-khidmat guaman yang disediakan seperti penasihatan, penyediaan dan semakan perjanjian, guaman serta prosedur yang terlibat bagi proses pengisytiharan harta yang wajib dilakukan oleh kakitangan UTeM dari semasa ke semasa.

Oleh itu, besarlah harapan kami warga PPU agar blogspot ini dapat dijadikan sebagai medium komunikasi yang berkesan khususnya di antara warga UTeM dengan warga PPU. Tidak lupa juga kepada masyarakat umum, kami berharap agar sedikit sebanyak manfaat dapat diperolehi daripada blogspot ini. Semoga dengan pembangunan blogspot ini hasrat dan matlamat warga PPU akan dapat dicapai sekaligus memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

Kalau ada sumur di ladang;
Bolehlah kami menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang;
Pasti kita berjumpa lagi.

Akhir kata, sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian hadirin melawat blogspot ini. Semoga hasrat murni warga PPU dan ukhuwah yang telah terbina di antara warga PPU dengan semua pihak berkekalan dan diberkati oleh Allah S.W.T. Insya-Allah.

Sekian, wassalam.

Datuk Azhar bin Mohamed DSM
Penasihat Undang-Undang
Universiti Teknikal Malaysia Melaka